Jika pada hiasan dekorasi dalaman rumah, motif bunga ros amat menarik minat penggemar sulaman riben untuk dihasilkannya. Namun, bagi busana pula, motif yang amat digemari adalah motif bunga pecah lima dan juga motif bunga dahlia.
Dalam menghasilkan sulaman riben pada busana, saiz riben yang kecil sekali iaitu kurang daripada 1/4 inci digunakan agar ia sepadan dengan hasil busana yang disulam riben. Apa yang menarik di sini, fabrik Thai Silk ataupun organza menjadi pilihan pereka fesyen dalam menghasilkan sulaman riben pada busana mereka.
Sulaman riben amat sesuai dihasilkan pada blaus yang polos. Ini akan menyerikan lagi blaus tersebut supaya dapat memberi kelainan pada si pemakai. Rekaan sulaman riben ini dihasilkan daripada riben-riben yang kecil saiznya supaya ia bersesuaian dengan rekaan yang ingin dihasilkan.
Apabila kanak-kanak yang berusia 5 tahun mampu menghasilkan gabungan dedaun sulaman riben mengikut pergerakan yang mereka suka dalam menggunakan riben, di sini dilihat bahawa sulaman riben ini mampu dipelajari oleh semua lapisan individu tanpa mengira had umur.