Dalam sulaman riben, apa yang perlu anda kuasai sebenarnya lebih kepada design ataupun corak sulaman riben tersebut. Hal ini kerana, penguasaan design yang menggabungkan pelbagai jenis bungaan ataupun motif yang anda pilih menjadikan sulaman riben yang dihasilkan itu nampak lebih menarik serta memberi kepuasan kepada diri anda sendiri.
Mudah… itulah ungkapan yang boleh digarapkan dalam minda seseorang setelah mereka mempelajari sulaman riben. Bukan itu saja ia boleh dipelajari oleh segenap lapisan umur masyarakat sama ada kanak-kanak, lelaki, wanita ataupun warga tua. Sulaman riben ini mampu menjadi terapi yang baik kerana ia bukan sekadar cantik tetapi ia mudah dipelajari.
Dalam menghasilkan sulaman riben pada busana, saiz riben yang kecil sekali iaitu kurang daripada 1/4 inci digunakan agar ia sepadan dengan hasil busana yang disulam riben. Apa yang menarik di sini, fabrik Thai Silk ataupun organza menjadi pilihan pereka fesyen dalam menghasilkan sulaman riben pada busana mereka.
Sulaman riben amat sesuai dihasilkan pada blaus yang polos. Ini akan menyerikan lagi blaus tersebut supaya dapat memberi kelainan pada si pemakai. Rekaan sulaman riben ini dihasilkan daripada riben-riben yang kecil saiznya supaya ia bersesuaian dengan rekaan yang ingin dihasilkan.
Apabila kanak-kanak yang berusia 5 tahun mampu menghasilkan gabungan dedaun sulaman riben mengikut pergerakan yang mereka suka dalam menggunakan riben, di sini dilihat bahawa sulaman riben ini mampu dipelajari oleh semua lapisan individu tanpa mengira had umur.
Sulaman riben ini turut diminati oleh masyarakat berketurunan Cina. Mereka menjadikannya sebagai hiasan pada busana dan juga pada aksesori seperti beg dan juga kasut. Malah sulaman riben ini menjadi satu lambang kemewahan sekiranya dijadikan sebagai cenderamata kenang-kenangan untuk sahabat handai dan para tetamu jemputan majlis keramaian mereka.
Sulaman riben walaupun sebenarnya mudah tetapi kadang kala ia memerlukan sedikit perhatian kepada penyulam.
Dalam menghasilkan sulaman riben pada busana, anda perlu menggunakan riben yang paling kecil dan sedikit keras supaya ia nampak cantik dan sedap mata memandang.
Sulaman riben boleh dihasilkan dengan menggunakan saiz riben yang halus. Ini kerana dengan menggunakan riben ini, ia juga mampu menghasilkan rekaan sulaman riben yang cantik.